Selasa, September 08, 2009

Laporan 1

Sekadar Laporan

Assalamualaikum…wth.

Aktiviti 1
Pada awal Maal Hijrah yang lalu, beberapa penduduk Taman Serampang, melalui jasa baik rakan2 penduduk yang mahu menyumbangkan tenaga dan masa telah mengadakan majlis Asyura. (Kacau bubur asyura) di rumah En Aizi dan Pn Sharifah sempena Maal Hijrah lepas. Kewangan disumbangkan oleh semua penduduk yang berkesempatan. Untuk makluman semua, wang kutipan masih berbaki RM125.00. Orang kuat yang mencetuskan idea ini ialah En Aizi sendiri.

Aktiviti 2
Pada minggu lepas (1hb September, 2009) AJK Penaja, telah mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua penduduk untuk bersama-sama dengan pihak Masjid Ijtihad bagi menganjurkan majlis berbuka puasa bertempat di masjid tersebut. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan, dan pihak penaja telahpun menyerahkan wang yang tuan puan sedekahkan tersebut kepada pihak masjid sebanyak RM 1050.00 (Satu Ribu Lima Puluh Sahaja). Ini merupakan aktiviti kedua penduduk Taman Serampang. Rakan penduduk yang menguruskan aktiviti ini ialah Cikgu Redza bin Hj Mohd Mohsin. Jasa baik kalian, (kedua-dua orang `kuat’) ini semuga dikira sebagai satu kebajikan oleh Allah swt. Amin.

Tuan/puan sekelian, pada 2hb Oktober 2009 nanti, kita akan mengadakan perjumpaan bagi mengumpulkan semua sekali penduduk Taman Serampang. Lelaki, perempuan, ibu ayah, anak-anak remaja, anak-anaki besar, anak-anak kecil, orang gaji dan semuanya. Mungkin perjumpaan itu boleh kita namakan Perjumpaan Keluarga Penduduk Taman Serampang. Insya Allah perjumpaan ini akan jadi amat meriah lebih-lebih lagi semangat Aidil Fitri masih mendakap suasana. Oleh yang demikian, mungkin tuan-puan punyai idea atau apa saja bagi memeriahkan lagi perjumpaan tersebut. Berikan idea, cadangan atau pandangan dan hantarkan sebelum 18hb September ini.

Untuk makluman semua, sehingga surat ini ditulis, taman kita sudahpun 4 kali diceroboh penyangak yang datang entah dari mana. Mereka memecahkan grill tingkap menggunakan besi `kuku kambing’ dan mencuri barang-barang berharga dari rumah-rumah saudara kita. Rumah-rumah yang diceroboh ialah nombor 26 (dua kali), rumah bernombor 27. Sutan Alaudin (Mi Derga) dan rumah banglo Cikgu dari Penang (berhadapan dengan Taman Permainan). Cuba saudara fikir dan bayangkan, bagaimana agaknya kiranya pencerobohan itu berlaku di rumah saudara sendiri.

Tuan puan yang dihormati sekelian, tujuan kita berjumpa, di samping saling mengenali, saling membantu, saling memberi maklumat, dan berpersatuan. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah. Yang penting dan pasti ialah kita tentu mempunyai cita-cita yang sama. Iaitu membangunkan Taman Serampang ini, bukan sahaja infra strukturnya tetapi pembangunan penghuninya. Kebersihan, keselamatan, keindahan, keharmonian, dan pembangunan pendidikan anak-anak (dunia dan akhirat). Saudara, apa salahnya anak-anak taman serampang ini kita anggap dan layan mereka seperti anak-anak kita sendiri manakala penduduknya pula dianggap sebagai saudara kita semua.

Untuk makluman semua, Taman Serampang sudahpun mempunyai blognya sendiri. Tuan puan boleh melayari http://tamanserampang.blogspot.com. Semua maklumat tentang taman serampang akan di update kan melalui laman ini. Jadi, jangan lupa untuk menghantar maklumat tuan-puan melalui borang yang disediakan.

Sekian, semoga niat baik ini mendapat sambutan dari pihak tuan puan sekelian.

Terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

My Birthday Party..??

My Birthday Party..??

Amir The Magician Boy

Amir The Magician Boy
hai